KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan Kerajaan Madani `lulus’ daripada sudut kebebasan kehakiman susulan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri semalam.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz berkata, Bersih sentiasa menegaskan, mahkamah harus bebas without fear or favour dalam membuat keputusan berdasarkan fakta kes dan tafsiran undang-undang atas prinsip keadilan tanpa mengira darjat.
Dalam masa sama keputusan mahkamah harus turut dilandasi dengan nilai tanggungjawab dan akauntabiliti dalam mengangkat kedaulatan undang-undang.
“Dari sudut kebebasan kehakiman, kes ini adalah ujian pertama buat kerajaan Madani kerana kes ini melibatkan PM sendiri. Saya kira kerajaan lulus dalam ujian pertama ini,” katanya menerusi aplikasi X hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tidak membenarkan Anwar merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan beliau daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.
Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.
Terdahulu Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 14 Januari 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan jenayah terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















