KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membina bilik darjah tambahan lain di 121 buah sekolah padat di tujuh negeri bagi menangani isu kepadatan.
Keseluruhan projek naik taraf ini melibatkan kos RM88 juta dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya Malaysia.
KPM dalam kenyataan berkata, langkah itu melibatkan penggunaan kaedah industrial building system (IBS) dan pre-approved plan (PAP) bagi memastikan tempoh pembinaan yang singkat dan siap dalam tahun semasa.
Daripada keseluruhan jumlah, Selangor mencatat bilangan tertinggi dengan 103 sekolah terlibat, diikuti Perak (8), Pahang (4), Negeri Sembilan (3), serta masing-masing satu sekolah di Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
KPM berkata, projek ini merangkumi penyediaan kemudahan infrastruktur, peralatan pengajaran, dan perabot bagi kegunaan aliran perdana serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Ia merupakan penyelesaian jangka pendek yang efektif demi menyediakan akses pendidikan yang kondusif kepada murid, guru, dan warga sekolah.
“Projek ini juga adalah antara komitmen berterusan KPM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan menyeluruh di sekolah-sekolah berkepadatan tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pelaksanaan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, hari ini. – MalaysiaGazette
















