KUALA LUMPUR – Menghidupkan semula pendekatan lama seperti gerakan `payung besar’ tidak akan membantu mengembalikan kekuatan orang Melayu, apatah lagi menjadi alternatif kepada Kerajaan Madani hari ini.
Apatah lagi, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, sekiranya payung besar itu dipimpin oleh individu yang hanya mahu menyelesaikan isu undang-undang atau politik peribadi mereka.
Sebaliknya beliau mencadangkan pembentukan satu kohort kepimpinan iaitu kumpulan yang terdiri daripada 20 rakyat Malaysia berwibawa untuk diperkenalkan secara terbuka sebagai teras kepada kepimpinan negara masa hadapan.
Jelasnya, kumpulan pemimpin yang sebaik-baiknya berusia bawah 50 tahun itu perlu dibarisi oleh mereka yang telah membuktikan kecemerlangan serta kewibawaan dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, akademik, masyarakat sivil dan keusahawanan.
“Tugas mereka adalah untuk merangka satu pelan masa depan Malaysia yang jelas dan praktikal yang berfokus kepada reformasi pendidikan, pemulihan ekonomi, kemajuan teknologi dan ketelusan fiskal.
“Ini bukan sekadar slogan kabur atau manifesto kitar semula tetapi mesti menjadi pelan yang berteraskan rakyat, berpijak di bumi nyata dan digerakkan oleh keyakinan serta keikhlasan.
“Paling penting, kumpulan ini mesti terdiri daripada spektrum yang luas dan inklusif.
“Mereka bukanlah dari kalangan ‘wajah biasa’ seperti ahli parti dengan idea yang usang dan reputasi yang meragukan, sebaliknya suara baharu yang bersih dan berani, yang sanggup bercakap dan bertindak demi kepentingan negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai inisiatif baharu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Dalam sidang akhbar pengumuman jawatan kuasa itu semalam, Dr. Mahathir berkata, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Sementara itu, Mohd Zaid berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan usaha menyatukan orang Melayu masih gagal dilakukan sehingga kini sehingga memaksa Dr. Mahathir menggerakkan inisiatif baharu.
Ini kerana, ujar beliau, parti-parti utama orang Melayu seperti UMNO dan Pas masih mengutamakan agenda masing-masing dan sering mengorbankan matlamat perpaduan yang lebih besar.
“Bersatu kini kehilangan momentum apabila gelombang keluar parti besar-besaran dari UMNO yang diharapkan tidak berlaku, dan kini parti itu kelihatan seakan-akan hanyut tanpa arah.
“Pas pula, walaupun masih mempunyai sokongan kukuh di kalangan penyokong setianya, belum cukup menyesuaikan diri dengan kehendak pengundi yang semakin celik maklumat dan berfikiran kritis.
“Jika benar-benar serius mahu tampil sebagai alternatif tulen kepada kerajaan sedia ada dan menyatukan orang Melayu dalam visi kebangsaan yang lebih besar, maka penyelesaiannya bukanlah dengan menghidupkan semula struktur lama yang sudah lesu, tetapi dengan membina sesuatu yang baharu dan berkredibiliti,” katanya. – MalaysiaGazette
















