Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tidak lagi boleh mengambil pendekatan mengutamakan kerusi kepada `kawan-kawan’ dalam agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah akan datang.

Pemangku Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, pendekatan seperti itu yang digunakan sewaktu PRN lalu menyebabkan parti tersebut hanya memenangi dua kerusi meskipun bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau, antara kesilapan dalam rundingan kerusi bagi sesebuah parti politik adalah lebih mengutamakan kerusi untuk ‘kawan-kawan’ sehingga sanggup korbankan kerusi boleh menang.

Sedangkan asas rundingan kerusi bagi sesebuah parti politik sepatutnya adalah kerusi ‘boleh menang’ dan ia dinilai mengikut data daripada keputusan terdahulu, keadaan politik semasa dan maklumat dari lapangan termasuk persepsi pengundi.

“Ada kerusi kita bina selama lebih 20 tahun namun bila ada peluang menang, diberi kepada parti lain tanpa melihat data asalkan ‘kawan-kawan’ dapat bertanding di kerusi mereka dengan data palsu.

“Sebab itu bertanding 8 kerusi, 10 kerusi, 13 kerusi mahupun 20 kerusi sekali pun tetap hanya menang 2 kerusi. Terpaksa ambil sagaja kerusi tidak boleh menang hanya kerana ingin letak ‘kawan-kawan’ bertanding…ini kesilapan Keadilan Sabah sebelum ini.

“Jika tidak berubah, selepas PRN Sabah kita tetap dengan 2 kerusi walau bertanding 13…,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menuntut PKR diberikan 13 kerusi untuk bertanding pada PRN-17 Sabah yang akan diadakan hujung tahun ini.

Bagaimanapun, permintaan Nurul Izzah itu tidak disenangi Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani yang menuduh PKR Pusat masih menganggap Sabah sebagai jajahan politik, bukan rakan setara dalam Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast