Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan siasatan  penganjuran sebuah program yang dikaitkan dengan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas merakam keterangan dua individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu terbabit hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis dari jam 3.10 petang hingga 4.30 petang.

“Sebanyak 38 soalan dikemukakan kepada mereka, namun kedua-duanya memilih untuk menjawab di mahkamah.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Huawei serta kad SIM milik salah seorang daripada mereka bagi membantu siasatan,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas dilengkapkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman mengambil alih kes tersebut susulan satu hantaran tular di media sosial mengenai penganjuran program yang dipercayai dijadual berlangsung pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut menegaskan program seumpama itu boleh mencetuskan ketidakharmonian awam dan perlu diteliti secara serius.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan bertarikh 31 Mei lalu, Pengerusi PSM memaklumkan program tersebut telah ditangguhkan atas faktor keselamatan dan kesejahteraan peserta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast