Oleh: Professor Madya Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad
KEMPEN Get to Zero ataupun lebih dikenali sebagai GTZ 2030 merupakan inisiatif global bagi menamatkan epidemik HIV/AIDS menjelang tahun 2030. Tiga sasaran utama GTZ 2030 adalah sifar jangkitan baharu, sifar kematian berkaitan AIDS, dan sifar diskriminasi. Inisiatif ini memfokuskan kepada pendekatan bersepadu melibatkan saringan awal, akses rawatan antiretroviral (ART), pendidikan kesihatan seksual yang menyeluruh, serta usaha mengurangkan stigma terhadap komuniti terbabit.
Di Malaysia, GTZ 2030 memfokuskan kepada individu berisiko tertinggi iaitu golongan remaja dan belia. Tindakan yang dilaksanakan ini adalah selari dengan laporan Pemantauan AIDS Global (Malaysia) pada tahun 2024, yang mana hampir separuh daripada kes HIV yang baru dikesan di negara ini adalah dari kalangan individu yang berumur 20 hingga 29 tahun. Data yang sama juga menunjukkan penghidap HIV majoritinya adalah lelaki dan lebih separuh daripadanya adalah berpunca dari hubungan seks diluar tabiat iaitu sesama lelaki (MSM).
Remaja hari ini hidup di dalam era digital tanpa sempadan yang merupakan pedang bermata dua. Segala bentuk maklumat samada baik ataupun buruk serta pengaruh budaya asing mudah diakses kerana ianya hanya berada di hujung jari. Malangnya dalam kebebasan itu tersembunyi risiko besar kepada golongan remaja. Disebabkan kurangnya maklumat dan pengetahuan mengenai kesihatan seksualiti, golongan ini mudah terjebak dengan pornografi dan tingkah laku seksual berisiko, iaitu normalisasi hubungan seks bebas dan juga normalisasi hubungan seksual sesama jenis.
Di Malaysia, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) telah diperkenalkan di peringkat sekolah lagi bagi membendung isu sosial berkaitan seksualiti. Namun PKRS dilihat gagal sebagai modul pendidikan seksualiti kerana ianya bersifat terlampau biologi tanpa penghayatan nilai moral, agama dan tradisi tempatan. Selain dari itu, teknik penyampaian secara satu hala dan perbezaan perlaksanaan PKRS di antara satu institusi dengan institusi yang lain juga menjadi salah satu sebab kepada kegagalan ini.
Impak dari kegagalan modul pendidikan seksualiti yang sedia ada ini jelas terlihat. Golongan remaja masih terdedah kepada tingkah laku seksual berisiko tinggi dengan mudahnya. Yang lebih menyedihkan lagi, disebabkan oleh kurangnya ilmu mengenai seksualiti berisiko ini, sebahagian besar daripada mereka ini tidak menjalani ujian saringan HIV secara berkala. Disebabkan itu, kebanyakan kes hanya dikesan pada peringkat lewat dan parah. Isu ini amat kritikal kerana generasi muda adalah aset negara pada masa hadapan yang perlu dilindungi dengan sistem pendidikan dan sokongan yang sewajarnya.
Pakar kesihatan dan pendidik menegaskan pendidikan seksualiti yang efektif bukan sekadar penyampaian fakta mengenai biologi atau sistem reproduktif semata-mata, tetapi perlulah mencakupi aspek emosi, nilai moral, hubungan sihat, serta tanggungjawab sosial dan rohani. Dasar pendidikan dan kesihatan awam di Malaysia juga mestilah relevan dengan memberi keutamaan kepada nilai agama serta budaya tempatan.
Pendidikan seksualiti memerlukan pendekatan holistik dan bersepadu bukan hanya bergantung kepada guru di sekolah, tetapi perlu melibatkan pelbagai pihak seperti ibu bapa, profesional kesihatan, pemimpin masyarakat serta komuniti. Ia perlu dirangka secara sistematik dan komprehensif berlandaskan nilai moral, agama, tanggungjawab dan kesedaran sosial. Ia juga perlu disampaikan secara interaktif supaya golongan ini benar-benar memahami isu-isu berkaitan dan mampu membuat keputusan yang bijak dan selamat di dalam kehidupan mereka.
Ibu bapa merupakan pendidik pertama dalam kehidupan anak-anak.. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk asas kefahaman anak-anak mengenai isu-isu berkaitan tubuh badan, pergaulan, batas perhubungan dan risiko penyakit jangkitan seksual, termasuklah HIV. Realitinya, dalam masyarakat kita, topik seperti “seksualiti” masih dianggap tabu dan memalukan untuk dibincangkan secara terbuka di dalam keluarga. Ini menyebabkan golongan remaja mula mendapatkan maklumat dari sumber tidak sahih, termasuklah media sosial, pornografi dan rakan sebaya yang akhirnya memberi persepsi yang salah mengenai seks, hubungan dan identiti diri.
Guru pula memainkan peranan penting dalam menyampaikan kurikulum PKRS yang telah lama diperkenalkan di sekolah. Pendekatan dalam bilik darjah perlu diperkemaskan Ianya perlulah bukan sekadar bersifat ‘ceramah satu hala’ tetapi lebih kepada dialog terbuka, berbentuk interaktif dan bersesuaian dengan konteks budaya serta umur pelajar. Pendidik juga perlulah diberikan latihan berterusan agar mereka dapat menyampaikan topik ini secara yakin, sensitif dan berkesan.
Profesional kesihatan pula boleh menyumbang melalui program-program kesedaran di sekolah, kampus atau komuniti, termasuklah memberikan kaunseling serta perkhidmatan saringan HIV yang mesra remaja. Pemimpin masyarakat dan institusi agama juga perlu memberikan bimbingan nilai dan perspektif spiritual, supaya mesej pendidikan seksualiti tidak hanya bersifat teknikal tetapi turut berakar pada pegangan moral dan agama.
Secara keseluruhannya, remaja memerlukan lebih daripada sekadar “jangan” atau “tak boleh”. Mereka perlu bimbingan untuk memahami siapa diri mereka, menghargai tubuh badan sendiri, serta membuat keputusan sihat dan bertanggungjawab dalam hubungan sosial. Pendidikan seksualiti yang komprehensif, beretika dan berlandaskan nilai bukan sekadar melindungi golongan remaja daripada HIV, tetapi ianya juga membina generasi yang lebih berani, berprinsip dan seimbang dari segi emosi, intelek dan spiritual.
Dari perspektif Islam, pendidikan seksualiti adalah penting dan harus dilakukan dengan penuh hikmah dan berpandukan syariah. Islam mengajar bahawa hubungan seksual hanya sah di dalam ikatan perkahwinan dan menolak segala bentuk hubungan luar batas yang membawa kemudaratan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 menegaskan; “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. “Hadith Bukhari dan Muslim meriwayatkan yang Rasulullah SAW mengingatkan:“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya”. Hadith ini menunjukkan semua pihak termasuklah ibu bapa, guru dan masyarakat adalah bertanggungjawab dalam mendidik dan membimbing remaja agar tidak tersesat dalam arus cabaran zaman.
Kesimpulannya, tanpa pendidikan seksualiti yang bersepadu dan berpandukan nilai, usaha untuk mencapai sifar jangkitan HIV dalam kalangan remaja hanya akan menjadi angan kosong semata. Pendidikan seksualiti adalah pelaburan bagi masa hadapan generasi muda dan negara kerana ianya adalah kunci kepada generasi yang sihat dan bertanggungjawab.
Bagi mengatasi cabaran ini, pendekatan pendidikan seksualiti perlu diperluas dan diperkukuhkan dalam sistem pendidikan negara, dengan kerjasama ibu bapa, guru, dan pihak berkepentingan lain. Akses kepada perkhidmatan kesihatan mesra remaja seperti ujian HIV percuma dan kaunseling juga harus diperbanyakkan. Masyarakat dan media harus berperanan mengurangkan stigma dan memupuk kesedaran. Dengan usaha kolektif ini, kita boleh mencapai sasaran Get to Zero 2030 dan menyelamatkan masa depan remaja Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan & Pakar Perubatan, Jabatan Penyakit Dalaman, Fakulti Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
















