Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melawat tapak projek Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 05 JUN 2025.

SEPANG – Pembangunan Selangor Aero Park (SAP) bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kargo udara terkemuka di rantau ASEAN.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembangunan industri baharu itu akan melengkapi perancangan kerajaan untuk menjadikan KLIA Aeropolis sebagai pusat penerbangan dan logistik serantau yang berdaya saing.

“Konsep Selangor Aero Park ini sangat bertepatan dan seiring dengan aspirasi kita untuk menjadikan KLIA lebih daripada sekadar lapangan terbang penumpang.

“Sasaran kita ialah untuk menjadikan KLIA sebagai hab kargo paling menonjol di ASEAN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah SAP di sini hari ini.

Jelas Anthony, KLIA mempunyai kelebihan daripada segi keluasan tanah dan infrastruktur iaitu sekitar 100 kilometer persegi dan menjadikannya antara tapak lapangan terbang terbesar di rantau ini.

“Tiada lapangan terbang lain di ASEAN yang ada skala sebesar ini atau rangkaian sambungan seperti yang dimiliki KLIA.

“Ini memberikan kelebihan besar kepada kita dalam menarik pelaburan bernilai tinggi khususnya dalam sektor logistik dan aeroangkasa,” tambahnya.

Menurutnya, SAP yang dibangunkan melalui kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) akan menjadi zon industri khusus yang menyasarkan industri pembuatan dan rantaian bekalan berkaitan aeroangkasa.

“Ia termasuk komponen untuk pesawat dan teknologi berkaitan industri aeroangkasa seperti perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.

Beliau turut memberitahu  fasiliti MRO sedia ada di KLIA akan turut mendapat manfaat daripada ekosistem baharu yang diwujudkan SAP memandangkan minat sektor swasta dalam bidang itu semakin meningkat.

“Selain itu, kita juga ada persefahaman bersama China untuk menjadikan KLIA sebagai hab kargo ASEAN mereka. Kerjasama seperti ini penting bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang,” tambahnya.

Kementerian Pengangkutan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga sedang menjalankan kajian untuk reka bentuk semula ruang udara dan sistem kawalan trafik udara KLIA bagi mengurus pertambahan trafik sama ada penumpang mahupun kargo.

SAP merupakan salah satu komponen utama dalam Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan dijangka menyumbang pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion serta mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Terletak dalam kawasan KLIA Aeropolis, taman industri seluas 600 ekar itu akan dibangunkan secara berfasa dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan RM2.3 bilion.

GE Aerospace turut diumumkan sebagai penyewa utama fasa pertama, dengan mengambil separuh daripada kawasan 100 ekar untuk membina kemudahan ujian enjin mereka.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast