Sumber : IPD Lipis

KUANTAN – Perjalanan pulang ke kampung bertukar tragedi hitam buat dua beranak apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan maut dalam kejadian di kilometer 30 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Cegar Perag, Merapoh, Lipis lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu lelaki  Proton Persona yang berusia 56 tahun dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah, Kelantan selepas menjemput anak perempuannya berusia 19 tahun dari universiti.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa  dipercayai hilang kawalan terhadap keretanya dan merempuh penghadang jalan di sebelah kiri dan kanan jalan lalu terbabas ke longkang di bahagian kiri jalan,” kata Ismail dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan tersebut, pemandu berkenaan, Mohd Ruzi Mohd Yusof disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast