KUALA LUMPUR – Uzbekistan dan Jordan melakar sejarah apabila mara buat kali pertama ke Piala Dunia manakala Korea Selatan pula terus mengukuhkan kedudukan dalam temasya bola sepak terbesar dunia itu.
Ketiga-tiga negara ini kini menjadi pasukan kelapan, kesembilan dan ke-10 yang mengesahkan tempat di edisi Piala Dunia 2026 yang diperluaskan kepada 48 pasukan di mana bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
Dengan tiga negara tuan rumah yang layak secara automatik, trio terbaharu ini menyertai Jepun, New Zealand, Iran, dan Argentina yang telah terlebih dahulu mengesahkan slot masing-masing.
Uzbekistan berjaya mengikat Emiriah Arab Bersatu 0-0, manakala Korea Selatan menewaskan Iraq 2-0 pada hari sama untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia kali ke-11 berturut-turut.
Uzbekistan yang kini berada di ranking ke-57 dunia dengan populasi 36 juta penduduk, memainkan perlawanan pertama sebagai sebuah negara berdaulat pada Jun 1992 selepas meninggalkan Kesatuan Soviet, dan diterima oleh badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dua tahun kemudian.

Pencapaian terhampir Uzbekistan sebelum ini untuk layak ke Piala Dunia adalah sewaktu kempen kontroversi pada 2006.
Ketika itu, mereka berada dalam perlawanan playoff dua pusingan menentang Bahrain untuk menentukan wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi berdepan Trinidad dan Tobago dari Concacaf.
Pemenang perlawanan itu kemudiannya akan layak ke pusingan akhir di Jerman. Uzbekistan memenangi pusingan pertama 1-0, namun kesilapan pengadil menyebabkan FIFA mengarahkan perlawanan itu diulang, dan akhirnya mereka tewas menerusi peraturan gol tempat lawan.
Namun demikian, pasukan Uzbek telah berjaya layak ke setiap pusingan akhir Piala Asia sejak 1996 dan mara ke peringkat kalah mati dalam setiap penampilan sejak 2004, termasuk melangkah ke separuh akhir pada 2011 dan suku akhir pada tahun lalu.
Naib juara Piala Asia, Jordan yang menduduki ranking ke-62 dunia kini bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia kali ketujuh sejak kali pertama pada 1986.
Pencapaian terhampir mereka untuk layak sebelum ini adalah apabila tewas dalam perlawanan playoff antara benua kepada Uruguay pada 2014. – MalaysiaGazette
















