Logo Petronas

KUALA LUMPUR – Pembangkang menggesa kerajaan menjelaskan rasional Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu membayar dividen sebanyak RM32 billion kepada kerajaan pada tahun ini, sama seperti 2024.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut dilihat tidak mengambil kira kejatuhan keuntungan syarikat petroluem negara itu dan tidak mengambil kira kebajikan kakitangannya.

“Rakyat berhak tahu, adakah ini pengurusan fiskal yang adil?,” soalnya menerusi kenyataan.

Hamzah berkata, penstrukturan semula Petronas dapat dielakkan sekiranya kerajaan tidak mengenakan dividen kepada syarikat terbabit.

“Walhal, jika kerajaan tidak memerah Petronas dan mengambil langkah mengurangkan kadar bayaran dividen mengikut prestasi keuntungan semasa Petronas, penstrukturan semula yang memangsakan rakyat ini boleh dielakkan,” tambahnya.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya akan mengurangkan 10 peratus pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.

Tengku Muhammad Taufik memberitahu, langkah itu diambil berikutan keadaan keseluruhan industri minyak dan gas tidak berapa baik ketika ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberhentian kira-kira 5,000 kakitangan Petronas dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu membabitkan penjawatan berstatus kontrak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast