KUALA LUMPUR – Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof mendedahkan pasaran bola sepak Liga Malaysia (Liga M) terutamanya babitkan tangga gaji anak tempatan semakin menurun.
Menerusi laman sosial Facebook miliknya, beliau memberitahu, dahulu seorang pemain profesional boleh meraih pendapatan bulanan sebanyak RM30,000 sebulan.
Namun hari ini senario itu jauh berbeza apabila ada segelintir kelab menawarkan serendah RM3,000 sebulan sahaja.
“Baru-baru ini terjumpa dengan seorang pemain bola sepak yang masih aktif bermain. Pemain ini menyatakan pasaran sekarang sangat berbeza dengan dulu. Dulu pasukan mencari pemain. Tapi sekarang pemain yang mencari pasukan.
“Jadinya harga tidak lagi diletakkan oleh pemain, tetapi oleh pasukan. Dulu boleh lagi gaji tawar menawar sampai dapat kata putus. Sekarang tidak lagi. Dan mentaliti pengurusan sesebuah pasukan sekarang ialah ‘nak gaji yang kami berikan, sila sign’. Kalau tak setuju dengan gaji yang diberikan, boleh cari pasukan lain.
“Pemain ini juga berkongsi tentang kehidupan beliau sekarang ini. Musim lepas beliau bergaji RM30,000. Tapi pasukan yang beliau wakili tidak lagi sambung kontrak beliau. Jadi beliau terpaksa cari pasukan lain.
“Tapi apa yang mengejutkan beliau ialah pasukan tersebut hanya ‘offer’ gaji pada beliau sebanyak RM3,000. This is crazy. Tapi di sini saya faham kenapa ‘drop’ banyak. Sebabnya beliau memerlukan pasukan, bukan pasukan ‘memerlukan beliau,” dedah Azmeer.
Jelasnya lagi, dia mendoakan agar rakannya itu dapat menguruskan sebaiknya kewangan dan dipermudahkan urusan seharian.
“Di sini korang bayangkan ‘market’ bola sepak macam mana. Sangat-sangat keras. Musim lepas RM30,000, musim akan datang hanya RM3,000. Hanya sebulan dua membezakan sebanyak RM27,000.
“Kereta sahabat saya ini pakai pun bulanannya hampir RM3,000. ‘How to cover’ yang lain-lain? ‘Seriously’ pemain ‘ni kena ‘do something’ untuk karier beliau,” katanya.
Pada Jun 2020, Azmeer mengumumkan dia meninggalkan Kedah kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian dengan perniagaan.
Pada masa sama, dia juga turut menubuhkan mewujudkan sebuah pusat pengajian Islam yang diberi nama Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Kedah. – MalaysiaGazette
















