KUALA LUMPUR – Semua pihak sama ada masyarakat sivil, institusi pendidikan, agensi kerajaan mahupun pemimpin politik untuk tidak berdiam diri dalam menuntut keadilan untuk Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar tahfiz yang maut dalam keadaan mencurigakan 12 tahun lalu.
Penyelaras Program Kesihatan Mental & Pencegahan Bunuh Diri, Dewan Muda Alternatif (DMA), Sollahuddin Ikram berkata, negara ini tidak boleh benarkan mana-mana institusi menjadi kebal daripada siasatan atau tindakan apabila nyawa pelajar terkorban dalam keadaan mencurigakan.
Ini bukan sahaja soal keadilan kepada arwah dan keluarga, tetapi juga soal maruah institusi tahfiz itu sendiri, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada 2016 telah memutuskan Wan Ahmad Faris tidak membunuh diri seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya telah dibunuh oleh individu tidak dikenalpasti.

Susulan keputusan itu, keluarga Allahyarham melakukan pelbagai usaha menuntut keadilan termasuk menghantar rayuan kepada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Perdana Menteri.
Namun pada Julai tahun lalu dimaklumkan bahawa kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ sejak tahun 2020.
“DMA memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan hak asasi pelajar, kecuaian institusi, serta pencabulan prinsip asas maqasid syariah, khususnya perlindungan terhadap nyawa (hifz an-nafs) dan menyokong penuh tuntutan keluarga mangsa untuk membuka semula kes di bawah siasatan jenayah pembunuhan,” tambahnya.
Sehubungan itu, DMA mencadangkan agar pihak berwajib mengenal pasti pemilik DNA asing yang ditemui pada kain pelikat mangsa dan menyiasat sejarah buli dan kecuaian pentadbiran sekolah.
Tuntutan ini, katanya, bukan sahaja simbol perjuangan ibu yang tabah, tetapi juga amaran keras terhadap institusi yang gagal memelihara keselamatan pelajarnya. – MalaysiaGazette
















