MELAKA – Masjid As-Salimin, Kampung Kandang di sini mencipta kelainan apabila buat pertama kalinya melaksanakan ibadah korban di rumah sembelihnya sendiri menjadikan ibadah itu lebih sistematik, selamat dan bersih.
Pengerusinya Abdul Malik Hussin berkata, rumah sembelih secara manual melibatkan kos RM25,000 yang dibina sendiri termasuk kandang berkeluasan 148.6 meter persegi itu hampir menyamai spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Apa yang lebih penting, ibadah ini dapat dilaksanakan walaupun ketika cuaca hujan kerana kawasan berbumbung selain lebih selamat kerana dapat mengelakkan kejadian lembut terlepas ketika hendak disembelih.
“Tahun ini Majlis Korban Perdana melibatkan 29 ekor lembu dan tiga ekor kambing yang dijangka penyembelihan dapat diselesaikan seawal pukul 11.45 pagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadir sama, Sidang Kampung Kandang merangkap Imam 2 masjid, Mohamad Said Kechot dan pengurus program Abu Kari Sulaiman.
Sementara itu Abu Kari berkata, seramai 210 peserta mengambil bahagian dalam ibadah korban tahun ini yang akan diagihkan kepada kira-kira 4,000 penduduk daripada 800 buah keluarga selain turut diberikan kepada 65 golongan asnaf dan mualaf.
“Tahun ini, penglibatan peserta juga lebih ramai kerana mereka memilih membuat bayaran secara ansuran selama lapan atau 10 bulan untuk satu bahagian korban bernilai RM800 menjadikan ia antara yang termurah di Melaka,” katanya.

Sidang Mohamad Said berkata, proses penyembelihan, melapah, menimbang hingga ke pembungkusan dan pengagihan dilaksanakan tanpa mengupah tenaga luar.
“Ia digerakkan sepenuhnya oleh komuniti kampung dan kecekapan logistik, perancangan awal serta semangat kebersamaan antara generasi tua dan muda menjadikan ibadah ini lebih bermakna.
“Peranan penting anak-anak muda kampung juga menjadikan program ini sebagai medan latihan tidak formal yang memperkukuh peranan belia dalam aspek keagamaan, kemasyarakatan dan kepimpinan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















