PELABUHAN KLANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang hilang dalam insiden bot terbalik di Tanjung Harapan di sini akan dihentikan pukul 7 malam ini selepas 24 jam usaha itu dilakukan pihak berkuasa sejak petang semalam.
Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, bagaimanapun usaha pencarian itu akan disambung semula esok.
“Setakat ini, usaha-usaha untuk mencari mangsa masih terus dijalankan dan belum jumpa lagi, gagal menemukan dua mangsa lagi.

“Kami akan teruskan lagi untuk mencari mangsa sehingga pukul 7 malam, kita akan tamatkan dan sambung semula SAR esok,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian dekat Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala sepasang suami isteri masih hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan kira-kira pukul 4 petang pada Jumaat lalu.
Vijaya berkata, punca kecelakaan laut itu masih belum dikenal pasti susulan siasatan insiden itu masih giat dijalankan pihak berkuasa.
“Bot ini kami akan bawa balik ke pangkalan marin untuk dibuat siasatan lanjut dari aspek teknikal dan sebagainya. Setakat ini tiada unsur-unsur jenayah,” katanya.
Beliau juga berkata, polis sudah membuka kertas siasatan ke atas insiden tersebut mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa bot dalam keadaan gopoh.
“Sebenarnya bot karam ini baru diperbaiki dan mereka buat pengujian, satu pusingan telah dibuat pada mulanya, dua orang selamat, lepas itu ada empat penumpang naik untuk sesi ujian kali kedua.
“Kali kedua itu menyebabkan bot itu terbalik dan karam dalam tempoh setengah jam dari ujian pertama dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut mengesahkan keenam-enam individu yang berada di dalam bot semasa kejadian merupakan warganegara tempatan.
Kesemua mereka berusia di antara 3 tahun hingga 52 tahun, katanya.
Selain itu setakat ini polis telah merakam keterangan daripada tiga individu termasuk seorang penumpang yang terselamat dan dua pekerja dari kelab layar termasuk seorang yang membuat panggilan kecemasan MERS999.
“Seorang lagi mangsa sudah dirakam keterangan. Ada lagi dua saksi utama iaitu orang yang telefon MERS999 adalah salah seorang pekerja di kelab layar.
“Seorang lagi rakan dia dalam kelab layar datang untuk bantu tarik bot yang tenggelam itu,” katanya.
Dalam pada itu, Vijaya memberitahu, walaupun tempat kecelakaan laut itu sudah dikenal pasti namun lokasi terakhir dua mangsa yang masih hilang masih giat dikesan.
“Lokasi sebenarnya sudah dikenal pasti, disebabkan arus dan persekitaran laut mangsa tenggelam dan tunggu masa untuk timbul balik.
“Situasi sekarang ini deras yang menyebabkan kesukaran pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, kebiasaannya, selepas 24 jam, mangsa yang tenggelam ini akan timbul balik, kami harap supaya mangsa ini dapat ditemui.
“Saya berharap ahli keluarga bersabar dan kami harap lagi dua mangsa dapat diselamatkan, kalau apa-apa berlaku pun kita terima,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pelabuhan Klang, Timbalan Penguasa Bomba, Haikal Jammy Ngali berkata, tiada keperluan untuk melakukan SAR di dasar laut dekat Tanjung Harapan setakat ini.
“Selepas kita buat selaman untuk memastikan dalam kabin bot itu tidak ada lagi mangsa, selepas kita terbalikkan bot, kita sudah pastikan memang tiada mangsa, jadi kita akan buat SAR permukaan laut.
“Untuk buat SAR dalam laut, bagi saya, sudah tidak sesuai sebab kedudukan tempat mangsa hilang itu kita tak pasti dekat mana,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Vijaya mengesahkan ketiga-tiga mangsa yang mati lemas sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
“Bedah siasat tiga mangsa telah selesai dan ketiga-tiga mangsa tela diserah kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian ikut adat masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, keenam-enam penumpang terbabit dipercayai tidak memakai jaket keselamatan semasa insiden berlaku.
“Sepatutnya apabila kita berurusan dalam laut, kita kena pakai jaket keselamatan, keselamatan itu penting. Kadang-kala kita ada kecuaian sikit malah ada dua tiga insiden yang berlaku di tempat lain khususnya nelayan.
“Saya selalu nasihatkan apabila ke laut untuk tangkap ikan dan sebagainya, ciri-ciri keselamatan perlu diutamakan termasuk jaket keselamatan dan perlu tahu berenang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















