Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (Telco) menyerahkan data pengguna telefon di Malaysia, dikhuatiri menyebabkan maklumat peribadi pelanggan disalahguna.

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) ketika menyuarakan kebimbangan itu berkata, data berkenaan ditakuti terdedah dan bocor kepada pihak lain.

Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, data yang diminta itu akan mengandungi pelbagai maklumat seperti rekod panggilan, penggunaan internet, lokasi Sistem Kedudukan Global (GPS) pergerakan dan lokasi keberadaan mana-mana pengguna.

Menurutnya, tiada langsung keperluan untuk data tersebut diperoleh dari telco.

“Apakah yang ingin SKMM lakukan dengan data ini? Untuk promosi pelancongan tempatan? Itu alasan mereka tetapi apa niat sebenar?

“Sudahlah isu privasi, ditambah pula dengan kemungkinan data itu disalahgunakan ataupun bocor kepada pihak lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini, portal berita antarabangsa memetik bahawa SKMM telah meminta telco untuk serahkan data penuh pengguna telefon di Malaysia.

Tambah Muhammad Rafique, terlalu banyak program yang disusun Kerajaan Madani memerlukan akses pada data rakyat dan melakukan pemantauan seolah-oleh seperti `negara kuku besi’.

Beliau turut mengingatkan syarikat telco bahawa rakyat yang membayar penggunaan perkhidmatan manakala kerajaan sama tidak wujud selamanya.

“Pada syarikat telco, ingatlah rakyat yang bayar dan guna perkhidmatan kamu. Kerajaan tidak wujud selamanya, boleh ditukar dan dijatuhkan, tapi rakyat tetap ada,” ujarnya.

SKMM dalam kenyataan dua hari lalu mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.

Suruhanjaya itu memberi jaminan, tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM.

Katanya, data yang diminta tidak mengandungi identiti mahupun  sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.

Telco diberi pilihan sama ada memproses data tersebut dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan output yang dibuang identiti dan diagregatkan kepada SKMM.

“Atau bagi yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan, mereka boleh menyerahkan data yang dibuang identiti kepada suruhanjaya untuk diproses.

Dalam kedua-dua kes, tiada pelanggan individu yang boleh dikenal pasti melalui data yang dikumpul,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast