Muhammad Ilham Alman (kiri) sanggup meninggalkan kemeriahan cuti Aidiladha bersama keluarga di kampung halamannya di Kuantan, Pahang dan menaiki bas sejauh 273 kilometer ke Melaka demi merasai pengalaman pertama menyertai gotong royong ibadah korban seawal pukul 7 pagi tadi

MELAKA – Seorang remaja sanggup meninggalkan kemeriahan cuti Aidiladha bersama keluarga di kampung halamannya di Kuantan, Pahang demi merasai pengalaman pertama menyertai gotong royong ibadah korban di Melaka hari ini.

Muhammad Ilham Alman Mohd Fadil, 19, berkata, dia menaiki bas dari Kuantan ke Melaka sejauh 273 kilometer malam tadi sebelum tiba di Terminal Melaka Sentral kira-kira pukul 2 pagi tadi.

“Sepanjang berada dalam bas, saya begitu teruja untuk merasai pengalaman pertama menyertai gotong royong ibadah korban yang sebelum ini hanya ‘dimonopoli’ golongan dewasa atau warga emas.

“Tambahan pula, ada rakan-rakan dari kolej yang turut sama sebab itu saya sanggup datang ke sini seawal pukul 7 pagi tadi, lagi pun di kampung mereka sudah ada sukarelawan korban sendiri menyukarkan saya mendapat peluang ini,” katanya.


Empat pelajar Kolej Profesional Mara Bandar Melaka teruja apabila dapat menyertai pada program Melaka Qorban House anjuran Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad, Taman Seri Pandan, Lorong Pandan Melaka hari ini.

Pelajar jurusan Diploma in Halal Industry (DHI) Kolej Profesional Mara Bandar Melaka itu ditemui pada program Melaka Qorban House anjuran Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad, Taman Seri Pandan, Lorong Pandan, di sini, hari ini.

Bagi Muhammad Zarief Safwan Zainol Bahari, 19, peluang gotong royong korban itu menjadi medan latihan tidak formal yang memperkukuh peranan belia dalam aspek keagamaan, kemasyarakatan dan kepimpinan.

“Sebagai anak muda, program sebegini dapat mengeratkan lagi ukhwah golongan belia dengan orang yang lebih tua malah saya sendiri memupuk semangat ini bermula dengan ikut pak cik.

“Mula-mula ikut dulu saya sekadar bantu bungkus, tapi bila dan dapat kemahiran,  saya mula melapah dan memotong daging korban,” katanya.

Muhammad Zarief Safwan Zainol Bahari

Pelajar jurusan sama, Muhammad Nur Iman Nor Hisham berkata, peluang menyertai gotong royong itu juga ibarat latihan praktikal di lapangan sesuai dengan jurusan dipelajari di kelas.

“Jurusan DHI memang melibatkan bidang penyembelihan ternakan jadi di sini dapatlah kami menimba pengalaman dan ilmu baru daripada ‘guru-guru’ di luar kolej pula,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Surau Al Hikmah, Mohd Khairul Zaki Misbah berkata, sebanyak 33 ekor haiwan ternakan dikorbankan tahun ini untuk diagihkan kepada lebih 3,000 penerima termasuk golongan asnaf di seluruh negeri ini.

Mohd Khairul Zaki Misbah

Menurutnya, apa yang menarik, program bermula pukul 1 pagi tadi sehingga 12 tengah hari ini disertai semua peringkat umur khususnya golongan belia menjadikan hampir 200 sukarelawan mengambil bahagian.

“Kami mengambil pendekatan melibatkan kanak-kanak dan remaja dan ini dapat dilihat apabila sebelum ini mereka agak kekok tapi setelah empat tahun terlibat di sini mereka semakin mahir.

“Ini satu perkembangan yang baik kerana 20 tahun akan datang, merekalah pewaris menjadi peganti orang-orang tua dan mendidik pula generasi muda lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast