Jamal Yunos

AMPANG – Selepas lima bulan bertarung dengan kanser paru-paru yang kemudiannya merebak ke otak, Datuk Seri Jamal Md Yunos kini mengumumkan beliau kini semakin pulih daripada penyakit itu.

Bagaimanapun Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu masih meneruskan rawatan susulan bagi memastikan tubuhnya bebas daripada sel kanser yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih rakan-rakan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan saya.

“Alhamdulillah setelah empat ke lima bulan saya bertarung dengan kanser tahap akhir daripada paru-paru merebak ke otak dan kemudian seluruh badan.

“Alhamdulillah akhirnya saya dapat bertahan dan kanser telah pun disahkan oleh doktor pakar hilang daripada badan saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di sini hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Jamal, 54, dimasukkan ke KPJ Ampang Puteri di sini pada 22 Mac lalu susulan kesihatannya semakin merosot akibat penyakit kanser yang dihidapinya sejak 2022.

Ketika itu, Jamal memberitahu, sel kanser di bahagian paru-parunya merebak ke otak sebesar tiga sentimeter menyebabkan beliau sukar untuk bercakap dan makan secara normal.

Sebelum dimasukkan ke KPJ Ampang Puteri, beliau mengadu sakit di seluruh bahagian leher dan kepala selepas bersin ketika memasak di rumahnya.

Selain KPJ Ampang Puteri, Jamal memberitahu, beliau turut mendapatkan rawatan intensif kanser di Hospital Beacon, Petaling Jaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast