Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang sekatan rasmi yang dikenakan terhadap aktivis seni, Fahmi Reza buat masa ini.

Sebaliknya Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat kekeliruan yang berlaku semasa proses semakan di pintu keluar negara terhadap aktivis dan artis grafik itu semalam sehingga menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.

“Situasi ini sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkas prosedur sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, Fahmi kini disenaraikan di bawah pemantauan bagi tujuan rekod dan rujukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas beliau, tindakan tersebut adalah berikutan siasatan kes melibatkan Fahmi yang masih dijalankan oleh pihak polis.

“Namun harus ditegaskan bahawa senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Razarudin berkata, PDRM akan terus komited melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak kepada rakyat termasuklah Fahmi.

“Individu berkenaan adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa, tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” ujarnya.

Semalam, Fahmi menerusi hantaran di laman Facebooknya mendakwa nama beliau telah disenarai hitam dan dilarang ke luar negara.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak isu larangan keluar negara yang dikenakan terhadap aktivis berkenaan.-MalaysiaGazette

Polis diminta semak larangan Fahmi Reza ke luar negara – PMO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast