Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu mengambil iktibar daripada kegagalan tiga pentadbiran kerajaan sebelum ini yang hanya mewariskan ketidakstabilan politik, ekonomi dan tadbir urus negara.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengingatkan rakyat agar tidak mudah ‘dibeli’ dan terpedaya dengan gerakan politik untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, tiada untungnya rakyat menyokong gerakan kudeta itu yang hanya merugikan mereka, apatah lagi memangsa ribuan pekerja tempatan yang hilang sumber pendapatan akibat ketidaktentuan ekonomi.

“Sejak Barisan Nasional (BN) jatuh 2018, pentadbiran negara acapkali bertukar tangan, bermula Tun Dr Mahathir Mohmmad, kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Lihatlah keadaan negara ketika itu, tidak tentu hala, ditambah pula Covid-19 melanda seluruh dunia, rakyat susah, sedangkan ahli-ahli politik yang berebut kuasa dan jawatan tidak terkesan pun, malah bertambah kaya anak-beranak.

“Akhirnya pada Pilihan Raya Umum lepas, Allah telahpun menggerakkan hati rakyat Malaysia untuk memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan gabungan pelbagai parti.

“Percayalah, jika tumbangnya kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat akan tambah derita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di sini, hari ini.

Jamal juga menasihatkan semua pihak supaya tidak ‘mensabotaj’ kestabilan Kerajaan Perpaduan kerana ia hanya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta pelaburan domestik dan antarabangsa sedia ada.

“Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya berilah peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin rakyat dan negara menuju ke mercu kejayaan.

“Beliau telah menerajui negara kita selama dua tahun, berilah peluang kepada beliau untuk memimpin sehingga penghujung penggal ataupun terus ke Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast