Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Penjelasan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang meminta syarikat telekomunikasi menyerahkan data penggunaan pelanggan individu adalah sesuatu yang “sangat mengejutkan dan membimbangkan”.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia adalah sesuatu yang amat tidak masuk akal apabila Kabinet perlu campur tangan dalam perkara yang semudah menilai kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

“Sejak bila hal statistik perkhidmatan telco menjadi keutamaan Kabinet?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Fahmi semalam bahawa tindakan SKMM mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (telco) menyerahkan data pengguna telefon di Malaysia hanya untuk pengumpulan statistik oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Menteri komunikasi berkata, SKMM dan telco bersetuju tiada maklumat serta data peribadi individu akan diserahkan.

“Data tidak akan diserahkan dalam bentuk yang mengandungi data individu , ini keputusan yang dibuat bersama syarikat telco dan SKMM serta melibatkan agensi seperti DOSM.

“Tujuan pengumpulan data bagi DOSM ambil statistik rasmi, perkara ini adalah keputusan Kabinet, kata Fahmi.

Dominic berkata, walaupun DOSM ingin menjalankan analisis terhadap data internet, syarikat telekomunikasi hanya perlu memberikan data keseluruhan pengguna seperti bilangan pengguna di kawasan tertentu, penggunaan jalur lebar pada waktu tertentu, jumlah panggilan telefon yang dibuat dan tempoh penggunaan internet dalam jangka masa tersebut.

Soalnya, kenapa perlu sehingga ke tahap menyerahkan rekod penggunaan setiap pengguna.

“Permintaan ini terlalu peribadi dan meluas, seolah-olah ia sudah melangkaui apa yang dikatakan Menteri Fahmi sebagai hanya ‘data statistik’, katanya yang menyifatkan tindakan tersebut sangat tidak wajar.

Tambah beliau, walaupun data yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi itu adalah tanpa identiti pengguna (anonim), ia tetap sukar untuk meyakinkan orang ramai.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya hanya meminta data umum secara agregat dan tidak perlu menyusahkan semua pihak dengan merekod secara terperinci setiap aktiviti pengguna.

Oleh itu, Dominic menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan khususnya SKMM, mengapa perkara ini perlu dibawa sehingga ke peringkat Kabinet.

“Jika ia sekadar data besar yang umum, kenapa perlu melibatkan Kabinet? Adakah Kabinet kini mahu tahu semua maklumat termasuk data internet rakyat secara terperinci?”

Beliau menegaskan dalam era data raya ini, perlindungan maklumat peribadi adalah amat penting.

Sama ada agensi kerajaan atau pihak swasta, setiap penggunaan data peribadi mestilah mempunyai dasar penggunaan yang jelas serta mendapat keizinan daripada individu terbabit – terutamanya apabila data besar digunakan dalam pembangunan ekonomi perkongsian dan kecerdasan buatan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast