KUANTAN – Klinik Kesihatan (KK) Mela, Lipis akan menerima sebuah ambulans pada tahun ini dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), permohonan peruntukan kenderaan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
”Pihak JKNP turut mengemukakan kepada KKM bagi mendapatkan peruntukan kenderaan ambulans tambahan berserta penempatan perjawatan pemandu ambulans.
”Hasil daripada permohonan tersebut, KK Mela telah dimasukkan didalam senarai perolehan ambulan Fasa 1 dan dijangka diperolehi pada penghujung tahun ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 3,000 penduduk Mukim Cheka 1 dan Cheka 2, Lipis memohon kerajaan menyediakan sebuah ambulans di KK Mela untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Lipis.
Ekoran ketiadaan kemudahan itu, penduduk mendakwa, pesakit berdepan masalah kerana terpaksa menunggu antara dua hingga lima jam ambulans dari Hospital Lipis setiap kali memerlukan rawatan kecemasan.
JKNP berkata, pihaknya prihatin terhadap kebajikan dan keperluan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pedalaman seperti Kampung Cheka.
Katanya, Kampung Cheka merupakan kawasan luar bandar yang masih bergantung kepada fasiliti kesihatan terdekat iaitu KK Mela.
Jelasnya, penduduk Kampung Cheka menghadapi cabaran daripada aspek jarak dan ketersediaan logistik kecemasan termasuk ambulans, terutama semasa kes kecemasan dan pemindahan kes ke hospital.
”Menyedari akan kepentingan perkhidmatan ambulans di kawasan tesebut, JKNP telah menempatkan sebuah ambulan di KK Mela sejak tahun 2005.
”Namun demikian, pada tahun 2022 ambulans tersebut terpaksa dilupuskan di atas faktor usia dan juga kerosakan,” ujarnya.
Sementara itu, JKNP berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lipis telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan perkhidmatan ambulans bagi penduduk Kampung Cheka dapat diteruskan.
Tambahnya, kerjasama rentas agensi seperti dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Lipis telah dilaksanakan bagi penyelarasan bantuan kecemasan sementara. – MalaysiaGazette















