KUALA LUMPUR – Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap aktivis yang juga dan artis grafik, Fahmi Reza menunjukkan berlakunya kecuaian dalam pelaksanaan prosedur yang mungkin melibatkan pelanggaran kuasa.

Sehubungan itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chiew Choon Man menuntut supaya siasatan menyeluruh dilakukan termasuk kemungkinan wujudnya unsur sabotaj atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, tindakan sewajarnya juga harus diambil sekiranya perkara tersebut terbukti.

Jelas beliau, sudah tentu kepercayaan dan keyakinan rakyat goyah susulan kejadian berkenaan.

“PDRM menjelaskan bahawa nama saudara Fahmi hanya tersenarai dalam sistem pemantauan dalaman, bukan sebagai subjek sekatan rasmi. Tetapi realitinya, beliau tetap telah disekat secara fizikal daripada ke luar negara.

“Kita menghormati peranan institusi penguatkuasaan, namun kepercayaan rakyat hanya dapat dipelihara jika institusi ini terus mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan ketersediaan untuk memperbaiki kelemahan prosedur sedia ada.

“Dalam hal ini, saya menghargai kesediaan dan keterbukaan Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) untuk menyiasat insiden ini secara serius, serta mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memperkemas prosedur sedia ada,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme pampasan wajar kepada individu yang menjadi mangsa kecuaian prosedur khususnya melibatkan sekatan perjalanan.

Ujar Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri, ia sebagai langkah menghormati hak mereka yang telah dinafikan secara tidak sah.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus bersuara untuk mempertahankan hak asasi semua rakyat tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik agar kebebasan mereka sentiasa dilindungi dalam kerangka demokrasi yang adil dan berfungsi,” tambahnya.

Semalam, Razarudin berkata, tiada sebarang sekatan rasmi yang dikenakan terhadap Fahmi Reza, sebaliknya berlaku kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara terhadap aktivis dan artis grafik itu sehingga menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.

Fahmi kemudian menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penjelasan berkenaan.

Beliau turut membayangkan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan sekatan terhadapnya yang disifatkannya merugikan masa dan wang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast