Tangkap layar dari video tular menunjukkan sebuah lori syarikat kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyiraman pokok bunga di Jalan Bukit Beruang, Melaka, petang Sabtu lalu bergerak perlahan di lorong kanan yang berselekoh tanpa sebarang kon atau lampu amaran.

MELAKA – Syarikat lori yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja-kerja siraman pokok, di sini, kelmarin sudah dikenakan notis oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, notis berkenaan dikenakan semalam selepas mendapati video tular membuktikan ada kesalahan dilakukan di bawah perjanjian kontrak.

“Kalau dilihat, memang mereka (pekerja syarikat) tidak ikut SOP yang mana sepatutnya perlu dipasang lampu dan tanda amaran di belakang lori memaklumkan kerja-kerja penyiraman pokok sedang dijalankan.

“Sebaliknya, lori terbabit hanya memasang papan tanda sahaja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Sapiah berkata, sekiranya didapati gagal mengikuti SOP berkenaan dan terus mengulangi kesalahan sama, kontraktok dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh dikenakan tindakan tamat kontrak.

“Kami sudah keluarkan notis awal dan jika mereka masih mengulangi kesalahan sama selepas ini perkhidmatan boleh ditamatkan mengikut perjanjian kontrak.

“MPHTJ juga sudah mengeluarkan pemakluman kepada semua pemilik lori siraman supaya mengikuti semua SOP yang sudah ditetapkan,”katanya.

Sapiah Haron

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pengguna jalan raya berkongsi detik cemas apabila nyaris merempuh sebuah lori kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyiraman pokok bunga di Jalan Bukit Beruang, Melaka, petang Sabtu lalu.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 25 saat yang tular, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.43 petang apabila lori berkenaan bergerak perlahan di lorong kanan yang berselekoh tanpa sebarang kon atau lampu amaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast