Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley (kanan) dan Ketua Pematuhan Undang-undang Maxim Malaysia, Mushfique Ahmed (kiri) pada sidang media mengenai penggantungan lesen e-hailing Maxim dan rayuan semula permit di Poolside Bistro Hotel Ideas, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Aplikasi e-hailing dari Rusia Maxim Malaysia telahpun mengemukakan rayuan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) beserta semua pindaan yang diperlukan mengikut garis panduan yang ditetapkan selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya komited dan berbesar hati untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam pasaran e-hailing di negara ini.

“Maxim hanya membenarkan pemandu yang sah dan berdaftar sahaja sebagai rakan kongsi syarikat.

“Ini bermakna semua perjalanan yang ditempah adalah selamat, boleh dipercayai dan dalam masa yang sama selesa serta mudah diakses,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perbincangan bersama APAD di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi menambah baik keselamatan dan pengalaman pengguna, Maxim Malaysia turut menyediakan fungsi sembang dalaman sebagai komunikasi antara pemandu dan penumpang yang dipantau oleh pihak perkhidmatan.

Selain itu kata beliau, pengguna juga boleh berkongsi pautan perjalanan mereka dengan ahli keluarga atau rakan-rakan untuk tujuan pemantauan secara nyata.

“Kami percaya usaha ini dapat meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan kami serta memberi ketenangan kepada mereka sepanjang perjalanan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Maxim Malaysia akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mematuhi segala peraturan demi memastikan perkhidmatan yang sah dan selamat kepada pengguna di seluruh negara.

Sebelum ini, Maxim Malaysia mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan dakwaan dua aplikasi e-hailing yang dikendalikannya, InDrive dan Maxim beroperasi secara haram.

Langkah tersebut dibuat bagi mengekalkan reputasi dan kepercayaan yang telah dibina selama ini, selain memberi penjelasan kepada pengguna, rakan kongsi, vendor dan pihak berkepentingan lain yang bekerjasama rapat dengannya.

Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu dan memberikan sokongan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast