JOHOR BAHRU – Seorang pegawai insuran tidak menyangka komisen ditawarkan jika bekerja sambilan secara dalam talian sebenarnya adalah satu jerat yang dipasang bagi memerangkap mangsa.
Kejadian bermula apabila mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun bekerja sebagai Pegawai Kualiti Insuran tertarik dengan tawaran itu yang diiklankan dalam Facebook pada 30 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berminat kemudian menekan pautan yang diberikan dan disambungkan dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa dijanjikan keuntungan komisen yang tinggi antara 10 hingga 35 peratus dalam tempoh yang singkat.
“Terpedaya dengan tawaran komisen yang ditawarkan, mangsa telah melakukan 16 transaksi ke dalam 10 akaun bank yang berlainan bermula 30 Mei hingga 3 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM54,950,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan lagi untuk mengeluarkan hasil komisen daripada pekerjaan yang dijalankan namun gagal.
Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang modal dan komisen gagal sebelum membuat laporan polis 5 Jun lalu.
“Siasatan awal dijalankan melalui platform Semak Mule CCID mendapati enam daripada 10 akaun yang terlibat mempunyai tujuh rekod polis melibatkan kes penipuan pekerjaan sambilan,” ujar beliau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan komisen yang tinggi dalam tempoh singkat.
“Pastikan untuk menyemak kesahihan syarikat pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram, dan TikTok untuk mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial.
“Jika menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” jelasnya.- MalaysiaGazette















