Fadhlina (tengah) pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam yang dilaksanakan secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menarik minat lebih 5,000 pemohon daripada seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program julung kali yang dilaksanakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini bertujuan memperkasakan kualiti pendidikan negara, khususnya di peringkat prauniversiti.

“Program ini membawa makna besar kepada KPM dan KPT kerana ia merupakan usaha bersepadu antara dua kementerian dalam memastikan martabat pendidikan negara terus dipertingkatkan.

Fadhlina Sidek.

“Sebagai program perintis, kita telah menerima hampir 5,000 permohonan secara keseluruhan dan untuk USM sahaja lebih 1,000 permohonan diterima,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan USM di sini, hari ini.

Tambah beliau, dua aliran ditawarkan dalam program ini iaitu aliran Sains dan Sains Sosial.

“Pengambilan pertama program ini bermula hari ini, dengan tempoh pengajian selama 18 bulan.Sebanyak 100 tempat ditawarkan di Kampus UKM manakala 60 tempat disediakan di Kampus USM.

“Saya rasa gembira apabila melihat pelajar yang mendaftar hari ini datang daripada pelbagai latar belakang termasuk dari sekolah-sekolah terbaik di Malaysia, membuktikan bahawa program ini mendapat sokongan dan kepercayaan masyarakat khususnya ibu bapa.

“Kita juga akan mempertimbangkan peluasan pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain berdasarkan permintaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast