MELAKA – Tiga beranak termasuk seorang wanita warga emas nyaris maut dalam bencana ribut yang melanda Kampung Bukit Pegoh, Pernu, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Fatimah Mohd. Saad, 78, Mohd. Fikri Abu Bakar, 46, dan anak saudaranya berusia 22 tahun terselamat selepas berjaya melarikan diri ke rumah jiran.
Mohd. Fikri berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila atap zink rumahnya ‘bergulung’ sebelum tercabut akibat dipukul angin ribut.
“Waktu kejadian, kami sedang tidur sebelum tiba-tiba saya terdengar bunyi ribut dan angin kuat menerbangkan bumbung rumah.
“Dalam keadaan panik itu, saya kejut mak dan anak saudara untuk lari menyelamatkan diri kerana bimbang dihempap atap zink rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila dia terpaksa memapah ibunya yang masih lemah kerana baru sahaja menjalani pembedahan kanser payudara.
“Sebenarnya, ini adalah insiden kedua atap zink rumah diterbangkan angin ribut dalam tempoh setahun selepas kali pertama berlaku pada Ogos tahun lalu.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga bersyukur kerana kerana masih dipanjangkan umur walaupun terpaksa menanggung kos sekitar RM2,000 untuk membaiki kerosakan bumbung,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette
















