BAYAN LEPAS – Penduduk di Kampung Bukit, Sungai Batu di sini, gempar apabila seekor ular sawa batik seberat 180 kilogram ditemui berlingkar di atas bumbung dapur sebuah rumah, hari ini.
Kehadiran reptilia itu disedari selepas kucing peliharaan tuan rumah menunjukkan tingkah laku aneh sambil merenung ke arah bumbung sebelum penghuninya menyedari kehadiran ular tersebut lalu segera menghubungi pihak berkuasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Barat Daya, Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 pagi dan segera menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, ular sepanjang 12 meter itu didapati berada di atas bumbung dapur rumah.
“Operasi menangkap ular itu mengambil masa kira-kira 45 minit berikutan beratnya dianggarkan 180 kg.
“Tiga anggota bertugas memerlukan bantuan orang awam untuk mengangkat reptilia itu selepas ia berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, ular berkenaan dipercayai baru sahaja bersalin kulit dan masuk ke kawasan rumah tersebut berkemungkinan untuk mencari makanan seperti tikus.
Dalam perkembangan berkaitan, Salman berkata, sepanjang tahun ini, APM Daerah Barat Daya merekodkan sebanyak 644 kes tangkapan ular pelbagai jenis di sekitar daerah berkenaan.
“Bulan lalu sahaja mencatatkan angka tertinggi dengan 180 kes, manakala bagi bulan Jun setakat ini, sebanyak 40 kes telah dilaporkan,” katanya. – MalaysiaGazette















