KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak gagal menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd. selepas representasinya ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan keputusan kepada Mahkamah Tinggi sebentar tadi bahawa AGC memutuskan untuk menolak representasi itu dan pihak pendakwaan akan meneruskan kes terhadap Najib.
Prosiding berlangsung di hadapan Hakim K. Muniandy sedang mendengar penghujahan kedua-dua pihak bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Pada 5 Mei lalu, mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir bagi mengetahui perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Najib pada 31 Julai 2023.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Berita selanjutnya menyusul. – MalaysiaGazette















