Foto Instagram Rodrigo Holgado.

KUALA LUMPUR – Penyerang baharu Harimau Malaya, Rodrigo Holgado memberi bayangan dalam perjalanan pulang ke Colombia selepas membantu Malaysia membelasahab Vietnam pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Holgado kelahiran Argentina merupakan penyerang kelab Colombia, America De Cali turut meluahkan dapat pulang ke negara Amerika Selatan itu dengan gembira selepas menempuh pelbagai cabaran.

“Pulang ke rumah (Colombia) dengan gembira dan banyak cabaran serta impian yang ingin dicapai,” tulisnya di Instagram miliknya sambil meletakkan bendera Colombia di akhir coretan.

Holgado merupakan salah seorang pemain yang menjaringkan dalam aksi tumpuan di antara Malaysia dan Vietnam.

Sebelum ini, latar belakang mengenai susur galurnya telah dikongsikan oleh seorang lagi wartawan terkenal di Argentina, Cesar Luis Merlo berhubung pertalian darah pemain  itu dengan Malaysia.

Dia dikatakan boleh mewakili Malaysia menerusi pertalian darah dengan nenek belah ibunya yang merupakan warganegara Malaysia.

Dalam aksi malam tadi, penyerang berusia 29 tahun itu meledak jaringan pada minit ke-59 selepas menyempurnakan hantaran lolos daripada Arif Aiman di bahagian kanan.

Jaringan tersebut merupakan jaringan pertama Holgado selepas proses pendaftaran beliau dan empat pemain warisan lagi mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, tiga lagi jaringan Malaysia telah dihasilkan oleh Joao Figueiredo, Corbin Ong dan juga Dion Cools.

Kemenangan besar 4-0 itu sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan Malaysia ke atas Vietnam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast