Barangan peribadi milik mangsa bertaburan ketika kerja pembersihan dan pengalihan bas yang terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan 15 pelajar UPSI di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi di Gerik, Perak. Foto ANIR NABILAFIQ ANUAR, 09 JUN 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Penggunaan penghadang jalan di lokasi kemalangan bas yang membawa penuntut Universiti Penduidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli bukan faktor bilangan kematian yang tinggi.

Sebaliknya ia berfungsi sebagai elemen keselamatan yang terbukti seluruh dunia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,  penghadang besi yang dipasang di laluan berkenaan mengikut piawaian keselamatan jalan raya antarabangsa dan diguna banyak negara untuk mengurangkan kesan kemalangan.

“Kita perlu faham bahawa tanpa penghadang itu, situasi mungkin jauh lebih buruk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, sebuah bas yang membawa penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim terbabas sebelum melanggar penghadang jalan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB menyebabkan 15 maut dan lebih 30 cedera.

Menurut Alexander, dalam kes seperti kenderaan hilang kawalan, penghadang jalan memainkan peranan penting untuk mengelak kenderaan terjunam ke dalam gaung yang boleh menyebabkan kesan yang lebih dahsyat.

“Kalau tiada penghadang, bas yang terbabas itu mungkin terus jatuh ke dalam gaung. Maka risiko kematian dan kecederaan boleh jadi lebih tinggi,” ujarnya.

Mengulas dakwaan keberkesanan penggunaan penghadang jalan, Alexander berkata, persepsi tersebut tidak berasas dan boleh mengelirukan orang ramai.

“Penghadang bukan direka untuk menyebabkan kematian, sebaliknya untuk mengurangkan kesan pelanggaran dan menyelamatkan nyawa. Ia adalah ciri keselamatan yang diiktiraf antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast