Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan pasukannya yang tewas pada pemilihan parti itu baru-baru ini, dijangka ‘meninggalkan’ Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni berkata, Rafizi bukan sahaja tidak akan menjadi calon, malah mungkin tidak akan membantu PKR pada PRU-16 itu.

“Saya jangkakan nama-nama pro Rafizi akan berhenti dari menyertai pilihanraya seperti pernah berlaku pada 2004 sehingga kita hanya tinggal 1 kerusi parlimen,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Iswardy Morni

Menurut Iswardy yang juga aktivis PKR, Rafizi dan pasukannya tidak lagi bertanggungjawab memimpin PKR pada PRU-16 seperti yang dilakukan pada pilihan raya umum sebelum ini memandangkan beliau bukan lagi Timbalan Presiden PKR.

Sebaliknya, tugas sebagai jeneral perang dalam menjual produk PKR kepada rakyat pada PRU-16 kini digalas Nurul Izzah Anwar selaku Timbalan Presiden baharu.

“Dia (Nurul Izzah) dengan sedar memilih langkah ini dan dengan yakin mengatakan dia mampu.

“Maka segala mata tertumpu kepada dirinya untuk memimpin kita ke jalan kemenangan membawa Anwar Ibrahim menjadi perdana Menteri untuk penggal kedua.

“Dia tidak dipaksa untuk memilih jawatan tersebut. Dia memilih untuk memikulnya!” katanya.

Tambah beliau, Nurul Izzah kini dengan kesedaran dan kemahuannya sendiri mahu mengambil tanggungjawab mendepani usaha membawa reformasi dan kemenangan PKR dari Rafizi dan kini Ahli Parlimen Pandan itu merelakan.

“Bila Rafizi dan timnya hendak ketepi memberi laluan kerana Nurul Izzah, kenapa mereka pula disalahkan?

“Sistem menipu atau tidak atau Rafizi diketepikan secara penipuan atau tidak, itu tidak penting bagi saya kerana saya sudah kenal parti ini dan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi.

“Saya sudah faham lama. Namun, secara faktanya, Nurul sendiri mahu ke depan dan bertembung dengan Rafizi untuk jawatan tersebut.

“Maka TIDAK ada istilah – “aku sudah menang, tapi Rafizi masih kena pikul tanggungjawab ini – Jangan lari!”.

“Tidak wujud istilah itu. Nurul kena pikul tugas berat ini. Nurul dan pasukan damainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberikan tempoh enam bulan ke depan iaitu sehingga Disember ini untuk melihat gelombang perubahan yang bakal diciptakan Nurul Izzah bersama pasukan damainya.

“Mungkin PRU16 ini kita tidak tinggal 1 kerusi seperti pada 2004. Namun, kalau ditanyakan apakah predeksi saya, saya boleh katakan – tunggu 6 bulan sehingga Disember 2025 ini.

“Kalau Pakatan Harapan masih lesu tanpa Rafizi dan teamnya dan Izzah gagal membawa gelombang yang sama atau lebih hebat, itulah indikasi – Anwar tidak akan menjadi perdana Menteri buat penggal kedua, dan berakhir legasi politik Anwar Ibrahim anak beranak.

“Melainkan dan sehingga dia boleh membuktikan 6 bulan ini gelombang dapat dicipta, maka, itulah indikasi jawapan kepada PRN Melaka, Johor, Sarawak dan akhirnya PRU16. Percayalah…,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. dia juga patut etak jawatan MP Pandan kerana tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden PKR

Comments are closed.