Ketua Pesuruhjaya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 52 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia termasuk seorang individu bergelar Tan Sri yang diambil keterangan hari ini.

“Rakaman percakapannya telah dimulakan hari ini bermula pukul 9 pagi dan telah tamat 3 petang dan akan disambung semula pada esok pukul 9 pagi.

“Ia dilakukan untuk tambahan pernyataan dan bergantung kepada keadaan esok sekiranya boleh dihabiskan, kita akan maklumkan kemudian.

“Rakaman percakapan diambil di rumahnya memandangkan kesihatan beliau yang tidak begitu mengizinkan untuk beliau bergerak ke SPRM ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu media melaporkan, dua pegawai penyiasat SPRM telah melaksanakan proses itu di kediaman Tan Sri berkenaan di Bandar Tasik Selatan selepas beliau dilaporkan keluar dari hospital.

Selain itu, sumber memaklumkan, SPRM turut melakukan serbuan di kediaman Tan Sri berkenaan di Melaka namun tiada sebarang rampasan atau sitaan .

SPRM sebelum ini melaporkan, jumlah sitaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM143 juta, hasil daripada operasi yang dijalankan minggu lalu.

Azam memberitahu, hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga sedang mengesan aset di luar negara, termasuk di London dan Switzerland. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seleweng dana sukuk lebuh raya: Pegawai SPRM sambung rakam keterangan Tan Sri esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast