Hamzah (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Seberang Perai Tengah hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang suri rumah berusia 57 tahun kerugian sebanyak RM521,450 selepas diperdaya menyertai skim pelaburan tidak wujud yang didakwa kononnya dikendalikan oleh “Khazanah Bank Negara”.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah diperkenalkan kepada skim pelaburan tersebut sekitar 2022 oleh jirannya sendiri yang kemudian membawa mangsa berjumpa dengan seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai pemasaran pelaburan Khazanah Bank Negara.

“Wanita tersebut menjanjikan pulangan lumayan iaitu sekali ganda daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan.

“Mangsa yang berminat kemudian membuat 51 transaksi bayaran ke dalam lima akaun bank berbeza dari 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024 melibatkan jumlah keseluruhan RM521,450,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hamzah, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas cubaan untuk mengeluarkan keuntungan gagal apabila suspek memberikan pelbagai alasan, termasuk mendakwa pelaburan tersebut belum mencapai tempoh matang.

“Suspek turut meyakinkan mangsa bahawa wang modal pelaburan masih selamat disimpan di Bank Negara Malaysia dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan seperti yuran guaman serta kos urusan pembayaran semula kononnya kepada pihak Bank Negara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast