Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana pelaksanaan reformasi memerlukan masa dan sokongan parti gabungan dalam kerajaan disifatkan sikap tipikal beliau dalam menyalahkan pihak lain demi menutup kelemahan sendiri.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kenyataan itu juga jelas berbeza daripada nada dan bahasa Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, Anwar sebelum ini sering menegaskan bahawa reformasi boleh dilaksanakan dengan segera dan akan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.

Malah, katanya, Anwar juga dilihat begitu yakin bahawa beliau tahu dengan jelas apa yang perlu dilakukan dan semua pihak kononnya telah bersedia untuk melaksanakannya.

“Namun kini, apabila beliau menyatakan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin akan tumbang sekiranya reformasi dilaksanakan secara pantas, saya berpandangan bahawa ini memperlihatkan kecenderungan kepada political survivalism — satu pendekatan yang tidak wajar datang daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai reformis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang menegaskan reformasi yang dituntut ramai pihak untuk dilaksana kerajaan memerlukan sokongan bukan saja Pakatan Harapan (PH), tetapi parti lain dalam gabungan kerajaan ketika ini.

Berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha melaksana pembaharuan juga memerlukan masa kerana ia membabitkan proses rundingan dan perbincangan.

Sementara itu, Saifuddin turut melahirkan kebimbangan apabila Anwar seolah-olah dilihat meletakkan kesalahan terhadap parti-parti gabungan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung isu sokongan kepada reformasi.

“Akhir sekali, apabila beliau menggunakan istilah hikmah (kebijaksanaan) sebagai alasan memperlahankan reformasi, saya tidak melihatnya sebagai mencerminkan makna sebenar istilah tersebut.

“Sebaliknya, ia lebih menyerupai suatu helah — alasan untuk menjustifikasikan kegagalan beliau dalam melaksanakan reformasi yang dijanjikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast