KUANTAN – ”Anak sulung saya jarang ikut adiknya pergi memancing tetapi semalam nak turun dalam air sebab nak sejukkan badan.”
Itu luahan bapa mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras di Sungai Kuantan.
Syed Mohd Ali Hanapiah, 64, memahami gelagat anak lelakinya, Syed Alwi, 30, yang gelisah dan tidak selesa ketika lapar atau dalam keadaan cuaca panas.
Menurutnya, Syed Alwi yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam itu menyuarakan hasrat mengikut anak lelaki ketiganya, Syed Abu Bakar, 25, memancing ke tebing sungai dari rumahnya di Tanah Putih.
”Kedua-beradik itu berjalan kaki kerana rumah dekat sahaja dengan sungai. Adiknya memaklumkan abang mandi di tepi sungai di kawasan cetek di bawah jambatan Tanah Putih.
”Tiba-tiba abang turun di tempat dalam terus tenggelam dan hanyut oleh arus deras. Mula-mula adiknya bagitahu nampak tangan abangnya tergapai-gapai sebelum hilang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Bapa tunggal anak empat itu berkata ketika kejadian, beliau berada di Balok dan sedang berniaga dan terus pulang apabila mendapat makluman kejadian itu.

Beliau berharap urusan pencarian anak lelakinya yang tidak mahir berenang dipermudahkan dan ditemui secepat mungkin.
Dalam insiden pukul 3 petang semalam, adik mangsa terus memaklumkan kepada keluarga memaklumkan kejadian menimpa abangnya dan membuat laporan polis.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, susulan laporan insiden lemas itu, pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 7 malam tadi.
”Mangsa dipercayai turun ke sungai untuk mandi dan tiba-tiba hanyut dibawa arus dan terus tenggelam. Saksi cuba menyelamatkan mangsa namun gagal.
”Operasi SAR diteruskan pada hari ini bagi mengesan mangsa,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapai seramai 39 orang penyelamat menyertai operasi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ,Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia serta Jabatan Amal Malaysia. – MalaysiaGazette















