Aminul Izmeer menunjukkan dadah yang dirampas selepas melakukan pemeriksaan dua kota parcel, pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Taktik sindiket dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar dadah dari Hong Kong ke negara ini terbongkar baru-baru ini.

Cubaan sindiket tersebut menyembunyikan dadah jenis morfin di bawah bungkusan gula-gula bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil.

Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor melakukan pemeriksaan dua kotak parcel tersebut yang sampai di sebuah pejabat pos laju di daerah ini pada 23 April lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan ke atas dua buah kotak parcel itu yang mencurigakan menjumpai dua bungkusan gula-gula diletakkan di atas botol putih yang mengandungi cecair hitam.

“Ujian dan saringan awal terhadap cecair hitam tersebut mendapati ia positif dadah jenis morfin dengan anggaran berat 10.194 kilogram yang dianggarkan bernilai RM955,687.

“Siasatan awal mendapati parcel itu dihantar dari Hong Kong ke sebuah rumah teres dua tingkat di Pulai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam di sini hari ini.

Kata,Aminul Izmeer,  status berkaitan pemilikan rumah itu dan jumlah individu terlibat masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pihaknya percaya sindiket terbabit cuba menyeludup dadah masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai penghantaran barangan biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Modus operandi mereka adalah menggunakan bungkusan gula-gula sebagai penutup dan meletakkan dadah dalam botol cecair berwarna hitam yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan rapi.

“Rampasan ini adalah kejayaan besar JKDM Johor dalam tahun ini setakat ini dan kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan terhadap bungkusan mencurigakan di semua pintu masuk termasuk pusat mel dan kurier,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast