KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman tujuh hari selepas disyaki bersubahat menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
Perintah tahanan reman sehingga 18 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin di Mahkamah Majistret 3, Kompleks Mahkamah Melaka hari ini, selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, keempat-empat suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Melaka
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025 di mana keempat-empat suspek telah bersubahat bersama pengerusi NGO tersebut yang telah menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana bagi kepentingan peribadi.
“Susulan penahanan itu, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM900,000 serta membekukan 14 akaun bank melibatkan lapan akaun individu dan enam akaun syarikat yang dianggarkan bernilai RM5 juta,” katanya.
Turut disita beberapa barang kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor serta empat unit kediaman di Melaka.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Tuan Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas semua suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















