Lokasi pembunuhan dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – “Sejak wanita itu kematian suami Januari lalu, kerap juga saya dengar mereka anak beranak bergaduh seperti baling barang dan kali terakhir pergaduhan adalah malam tadi.”

Itu diceritakan jiran seorang guru yang mati dipercayai dibunuh anaknya sendiri, pelajar sekolah berusia 17 tahun dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini awal pagi tadi.

Turut maut dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi adalah anak sulung guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina itu, seorang pelajar kolej lelaki berusia 21 tahun.

Kejadian turut menyebabkan anak bongsunya, lelaki berusia 13 tahun cedera parah akibat ditikam ketika cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Menurut jiran, mangsa yang sudah menetap di situ sejak 10 tahun lalu, mangsa adalah seorang guru yang amat mementingkan pelajaran anaknya.

“Mungkin sebab itu, sering berlaku pergaduhan dengan anak keduanya itu yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kerap juga saya dengar mereka bergaduh tapi tidak pernah seteruk ini dan tak sangka pula ia berakhir dengan kes pembunuhan,” katanya enggan dikenali.

Suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.

 

 

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan faktor tekanan oleh ibu dan abang yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam dua beranak itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.

Motif pembunuhan disebabkan oleh perasaan dendam yang terpendam akibat tekanan perasaan kerana suspek akan menduduki SPM tahun ini sering dipaksa belajar oleh ibu dan abangnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar bunuh ibu dan abang, tikam adik kerana dipaksa belajar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast