PASIR GUDANG – Seorang penunggang Grab Food parah dirempuh sebuah bas kilang di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Kong Kong/Jalan Berlian 12 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku pukul 6 petang sebelum rakaman papan pemuka sebuah kereta yang merakamkannya tular dalam media sosial.
“Pihak polis menerima laporan kemalangan melibatkan sebuah motosikal penunggang Grab Food dengan sebuah bas pekerja di persimpangan lampu isyarat tersebut.
“Kemalangan melibatkan bas jenis Hino dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dan motosikal jenis EX5 ditunggang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan merupakan pekerja sementara Grab Food.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa bas berkenaan sedang bergerak lurus menghala ke Masai,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bas berkenaan bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau di laluannya dari arah Kong Kong menghala ke Masai.
Tiba-tiba katanya, motosikal mangsa keluar dari simpang kiri lampu Jalan Berlian 12 ketika lampu isyarat sedang berwarna merah lalu masuk ke laluan bas berkenaan.
Akibatnya kata beliau, bas berkenaan tidak sempat membrek dan melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa telah tercampak atas jalan dan terseret bawah bas sejauh 15 meter sebelum bas berhenti sepenuhnya,” ujar beliau.
Beliau memberitahu, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ambulan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk menerima rawatan di Zon Merah.
Tambahnya, mangsa masih tidak sedarkan diri manakala pemandu bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















