Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyarankan Yusoff Rawther Mohamed menyaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

Menurut Ahmad Fadhli, tindakan itu bagi membongkar dalang yang mengeluarkan arahan untuk meletakkan kanabis dan pistol palsu dalam pertuduhan yang dihadapinya.

“Tidak logik kanabis itu datang turun dari langit, dari mana ia datang, mesti ada tangan yang meletakkan. Tentu ada pihak yang keluarkan arahan. Saudara Yusoff boleh saman.

“Saya yakin polis sendiri tidak mahu bersekongkol dengan tindakan zalim ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menggesa nama institusi kepolisan negara dibersihkan segera susulan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Jangan kerana arahan sebegini, rosak nama polis yang sangat komitmen selama ini,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast