KULAI – Tiga lelaki melecur selepas sebuah stor penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) terbakar di Jalan Timur 4, Kawasan Perindustrian Timur di sini hari ini.
Kejadian pukul 1.40 pagi itu tular dalam media sosial apabila api marak dan letupan kuat dari stor berkenaan dapat dilihat serta didengar hingga ke kawasan perumahan berhampiran.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Bomba Kanan I Asmiza Zaini berkata, seramai 13 anggota dari BBP Kulai serta BBP Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan struktur kekal berkeluasan kira-kira 25 kaki x 80 kaki yang dijadikan stor gas LPG.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan 200 kaki dengan bantuan jentera FRT dan pam angkut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, tiga lelaki berusia 30-an dan 40-an yang mengalami kecederaan melecur sekitar 50 peratus dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada pukul 2.31 pagi dan tamat sepenuhnya sejam kemudian.
“Turut dilakukan adalah kerja-kerja penyejukan ke atas sebuah lori tangki LPG yang berada berhampiran lokasi kebakaran,” katanya.
Beliau memberitahu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, menerusi komen dalam media sosial, penduduk kawasan Taman Perindustrian Timur 6 mendakwa merasai gegaran akibat kebakaran stor LPG tersebut.- MalaysiaGazette
















