BUKIT MERTAJAM – Tiga buah rumah di Taman Serumpun di sini hari ini rosak dalam satu insiden letupan mercun, yang dipercayai berpunca daripada masalah hutang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 1.05 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan yang kuat di kawasan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun yang dibaling ke dalam sebuah rumah.
“Impak letupan menyebabkan dua buah rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan.
“Ketiga-tiga rumah yang terlibat dilaporkan mengalami kerosakan pada bahagian siling dan halaman rumah, manakala dua buah rumah turut mengalami kerosakan pada kenderaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Helmi, hasil siasatan turut mendapati dua lelaki menaiki sebuah kereta dipercayai terlibat dalam insiden ini dan punca kejadian disyaki membabitkan masalah hutang.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk membantu siasatan, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Assan Alimudin di talian 012 441 8081,” katanya. – MalaysiaGazette
















