KUALA LUMPUR – Semua lapisan masyarakat, terutama golongan B40 dan M40 didakwa bakal merasai kesan langsung susulan pengumuman kerajaan mengenai perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai ini.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan berkata, kenyataan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) bahawa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai memberikan makna hampir semua barang dicukai ketika ini tanpa mengira golongan berpendapatan rendah atau sederhana.
Katanya, kerajaan kini telah menggantikan versi 2022 iaitu senarai barangan yang dikenakan cukai SST dengan versi tahun ini, SST 2025 apabila menyenaraikan semua barangan yang dikenakan cukai, termasuk kadar masing-masing lima peratus, 10 peratus atau kadar khas per unit.
“Untuk perbandingan, hanya 62 muka surat senarai pada tahun 2022, tetapi kini melangkaui lebih 200 muka surat. Ini bermakna, cukai barangan SST tidak terhad kepada ikan salmon dan avocado sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, antara barangan “mewah” yang bakal dikenakan cukai adalah pisang, epal, nanas, mangga dan pelbagai lagi buah-buahan yang kebanyakan rakyat B40 dan M40 membelinya.
Katanya, amat kasihan kepada semua rakyat Malaysia yang berpuasa kerana kurma pun bakal dikenakan cukai.
“Kasihan juga kepada semua rakyat Malaysia yang merayakan Tahun Baru Cina kerana limau mandarin bakal dikenakan cukai.
“Sememangnya harga buah-buahan akan naik. Ini baru disentuh harga buah…harga makanan yang lain tidak terkecuali dan akan terkesan teruk pada 1 Julai nanti,” ujar beliau yang juga Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS).
Tambahnya, cukai perkhidmatan juga akan turut diperluaskan dengan rawatan selepas bersalin untuk ibu dan bayi yang akan dikenakan cukai lapan peritus termasuk rawatan kesihatan warga emas.
“Apa yang dahulunya tidak dikenakan cukai kerana dianggap perkhidmatan asas untuk rakyat, kini dilanyak sehabis-habisnya.
“Dari bayi hingga warga emas, semuanya dikenakan cukai perkhidmatan. Hutang negara makin melambung tinggi kerana pengurusan ekonomi yang tidak cekap. Akhirnya, rakyat yang menjadi mangsa. Beban hidup rakyat makin ditekan dengan perluasan cukai SST,” katanya. – MalaysiaGazette
















