KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melihat segala aspek yang boleh dibantu untuk meringankan beban pengurusan serta memberikan potongan munasabah ke atas hutang premis Kolej UNIKOP di Cyberjaya, milik Koperasi PDRM Berhad.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai respon terhadap ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memohon kerajaan mempertimbangkan rayuan pengurangan bayaran sewa dan hapus kira hutang premis Kolej UNIKOP Cyberjaya bagi 2024 kepada pihak Cyberview Sdn Bhd.
Razarudin berkata kelulusan permohonan berkenaan akan mengukuhkan lagi usaha menaik taraf kolej sebagai universiti kepolisan dan keselamatan yang unggul di rantau Asia Tenggara.
“Saya tak fikir kita wajar lupuskan (hutang) semua, tetapi saya fikir berdasarkan prestasi polis dan pengurusan yang baik sekarang, kita berikan potongan (hutang) munasabah,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Anwar berkata pengurusan Koperasi PDRM Berhad yang mewakili ratusan ribu ahli mutakhir ini merekodkan prestasi memberangsangkan sekali gus dapat memberikan pulangan lebih baik kepada ahlinya.
“Kalau pengurusan itu baik dan tatakelolanya juga baik, prestasi (hasil) bagi ahlinya juga akan jauh lebih baik. Prestasi ini juga sekali gus telah meletakkan Koperasi PDRM di kedudukan yang tinggi ketimbang koperasi lain di negara kita,” katanya.
Anwar berkata dalam usaha memastikan kebajikan rakyat khususnya anggota PDRM terus terbela, pandangan daripada Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri amat diperlukan.
“Kita tidak boleh lagi kekal dengan cara dan keadaan lama sahaja… negara catat kejayaan membanggakan, pertumbuhan lima peratus dengan pelaburan semalam saya umumkan masih meningkat 3.1 peratus bagi suku pertama tahun ini dalam keadaan ekonomi dunia terencat.
“Tetapi ukuran akhirnya itu adalah ukuran kepada tahap keselesaan rakyat, rumah mereka, hospital, sekolah dan kos sara hidup. Inilah yang sedang Kerajaan MADANI tangani,” katanya.
— BERNAMA
















