KUALA LUMPUR – Pas memberi jaminan kes melibatkan Muhammed Yusoff Rawther akan disiasat sehingga ke akar umbi apabila Kerajaan Perpaduan hari ini jatuh suatu hari nanti.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika itu, rakyat tidak perlu terkejut sekiranya ada yang terpaksa ke penjara kerana perbuatan salah guna kuasa.
Dalam masa sama, tegasnya, rakyat tidak boleh memandang ringan kes melibatkan Muhammed Yusoff kerana tidak mustahil ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Apabila kerajaan ini jatuh nanti, kes Yusuf Rawther yang terpaksa meringkuk di dalam penjara 9 bulan 10 hari hanya kerana tuduhan yang gagal dibuktikan atau lebih tepat kerana sebuah penganiayaan akan DISIASAT SEHINGGA KE AKAR UMBI!
“Hanya dengan arahan ‘orang atas’. Kasihan pihak polis yang bertugas dengan penuh dedikasi selama ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024. – MalaysiaGazette
















