Vishwashkumar Ramesh., satu-satunya mangsa nahas pesawat Air India yang terselamat. foto media sosial

NEW DELHI – Lelaki Britain yang satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas pesawat Air India berkata, dia berjaya keluar daripada serpihan pesawat yang terhempas melalui celah-celah di bahagian fiuslaj.

“Saya berjaya melepaskan diri, menggunakan kaki saya untuk menolak lubang, dan merangkak keluar,” cerita Vishwashkumar Ramesh kepada DD News.

Ramesh, 40, berada di tempat duduk 11A dalam penerbangan Boeing 787 ke London yang terhempas sejurus selepas berlepas di Ahmedabad, barat India pada Khamis.

Nahas itu menyebabkan semua penumpang dan anak kapal lain terbunuh – termasuk 169 warga India dan 52 warga Britain.

Lebih daripada 200 mayat telah ditemui setakat ini, walaupun tidak jelas daripada jumlah itu berapa ramai penumpang Air India dan jumlah mangsa di darat.

Bercakap di katil hospitalnya, Ramesh berkata, lampu dalam pesawat itu “mula berkelip” beberapa saat selepas berlepas.

Dalam tempoh lima hingga 10 saat, dia merasakan pesawat itu “terperangkap di udara”.

“Lampu mula berkelip hijau dan putih…tiba-tiba merempuh bangunan dan meletup,” katanya.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu merempuh sebuah bangunan penginapan doktor di Kolej Perubatan dan Hospital Awam Byramjee Jeejeebhoy.

Ramesh, dari Leicester berkata, tempat duduknya mendarat berhampiran tanah dan tidak bersentuhan dengan bangunan itu.

“Apabila pintu pecah dan saya lihat ada sedikit ruang, saya cuba keluar dari situ. Tiada sesiapa yang boleh keluar dari seberang, iaitu ke arah dinding, kerana ia terhempas di sana,” tambahnya yang seorang ahli perniagaan.

Dia dilahirkan di India tetapi telah menetap di United Kingdom sejak 2003, mempunyai seorang isteri dan anak lelaki berusia empat tahun.

Punca nahas masih disiasat tetapi satu kotak hitam telah ditemui dari tapak nahas.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan Ramesh berjalan ke arah ambulans dalam keadaan asap berkepul-kepul dikelilingnya.

Ramesh berulang kali menyatakan dia tidak percaya dapat keluar dari bangkai pesawat hidup-hidup.

“Saya melihat orang mati di depan mata saya dan dua orang lagi berhampiran saya,” katanya.

“Seketika, saya rasa seperti akan mati juga, tetapi apabila saya membuka mata dan melihat sekeliling, saya menyedari saya masih hidup.

“Saya masih tidak percaya bagaimana saya terselamat. Saya berjalan keluar dari runtuhan,” ujarnya.

Dr Dhaval Gameti, yang merawat Ramesh berkata, terdapat pelbagai kecederaan di seluruh badan mangsa tetapi kelihatan “tidak berbahaya”.

Abang Ramesh, Ajay turut berada di dalam pesawat itu.

Sepupu mereka, Hiren Kantilal berkata, mereka telah berada di India selama beberapa bulan untuk bercuti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast