SEPANG – Seramai 283 orang jemaah haji Malaysia yang merupakan kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menaiki pesawat sewa khas MH251 pada pukul 8.50 malam hari ini.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Mereka adalah sebahagian 31,600 jemaah haji yang pulang ke tanah air menerusi 100 penerbangan sewa khas menerusi Malaysia Airlines dan Saudi Airlines dari 14 Jun hingga 10 Julai ini.
Sementara itu, Mohd Na’im mengesahkan setakat hari ini, seramai 14 jemaah haji negara iaitu sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 47 hingga 78 tahun meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka terkena serangan jantung.
Beliau berkata, daripada 14 jemaah yang meninggal dunia, tiga jemaah sempat berwukuf pada 9 Zulhijah lepas manakala urusan badal haji bagi baki 11 jemaah yang tidak sempat berwukuf telah disempurnakan oleh pihak TH tanpa mengenakan sebarang kos tambahan.
Mohd Na’im turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi, CEO dan petugas TH kerana membantu dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia sepanjang mereka berada di Tanah Suci sehingga selamat kembali ke negara ini.
Beliau gembira kerana Program Safari Wukuf yang baharu diperkenalkan TH berjaya membantu 95 jemaah haji yang uzur untuk menyempurnakan ibadah wukuf di Arafah baru-baru ini. – MalaysiaGazette
Berita lanjut menyusul…
Mohd Na’im Mokhtar, KLIA, haji
















