MELAKA – Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam cedera parah dipercayai dipukul dengan senjata dalam rompakan di premis itu di Bukit Baru, di sini, awal pagi tadi.
Menerusi video berdurasi 17 saat yang tular, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 pagi tadi sehingga mengakibatkan lantai kedai dipenuhi darah.
Turut kelihatan dalam video berkenaan adalah seorang pekerja lelaki sedang tertuduk melutut dipercayai menahan kesakitan di belakang leher yang berlumuran darah disyaki akibat di pukul perompak berkenaan.
“Bang kena rompak ke bang? Ni kena rompak ni, ya Allah rehat-rehat, berdarah kepala.
“Tolong-tolong kejadian berlaku sekarang,” kata lelaki yang merakamkan video berkenaan sebelum tular.

Turut kelihatan dalam video adalah dua individu lain yang terkejut apabila melihat lantai dipenuhi darah.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette ke premis berkenaan pada pukul 12.10 tengah hari tadi mendapati premis berkenaan ditutup dan diletakkan notis pembersihan sedang dijalankan.
Bagaimanapun, jelas kelihatan beberapa kesan tompokan darah di kaki lima kedai serbaneka itu.
Beberapa pelanggan kedai makanan bersebelahan mendakwa, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi tadi selepas gerai burger di hadapannya tutup pada pukul 2 pagi.
“Tak pernah lagi kedai serbaneka ini dirompak sehingga melibatkan kecederaaan parah pekerja sejak saya menetap di sini 50 tahun lalu.
“Ada saksi beritahu, perompak berkenaan bersenjatakan besi dan memukul seorang daripada dua pekerjanya sebelum melarikan slot duit dalam mesin juruwang di kaunter,” katanya.
Difahamkan, rompakan awal pagi tadi turut melibatkan sebuah lagi kedai serbaneka sama di Taman Delima Raya yang terletak berhadapan Balai Polis Bukit Baru.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi memberitahu sedang menyemak laporan kejadian itu. – MalaysiaGazette
















