KUANTAN – Mayat sepasang suami isteri warga emas berbangsa Cina ditemukan di rumah mereka di Sungai Ruan, Raub dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Shahril Abdul Rahman berkata, mayat Loh Kam Ngo, 73, ditemukan dalam keadaan terbaring di hadapan singki bahagian dapur dan didapati telah berulat.
Manakala mayat isterinya, Wong Tong Seng, 75, ditemukan dalam keadaan terbaring di bucu katil di bahagian dalam bilik bahagian tengah rumah tersebut.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan serta kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat, dan mayat kedua-dua mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Ruan untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shahril, hasil bedah siasat lelaki mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah Acute Coronary Syndrome atau serangan jantung dan waktu kematian dianggarkan kira-kira lima hari lepas.
Tambahnya, polis seterusnya menghubungi seorang daripada tiga anak pasangan itu dan dimaklumkan bahawa ibunya mempunyai sakit parkinson sejak 20 tahun yang lalu.
“Anak mangsa memberitahu sakit ibunya itu semakin teruk sehingga tidak mampu berjalan dan percakapannya juga sukar difahami kali terakhir dia berjumpa mereka pada waktu cuti sekolah baru-baru ini.
“Ayahnya pula dikatakan ada mengambil ubat sakit jantung di klinik Kesihatan Ulu Gali kerana kerapkali sakit dada sekiranya penat menaiki tangga menuju rumah mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















